The Struggles of MLTs via the Union

This article was published in 1979.

MERENUNG SEKEJAP SEDIKIT KEGIATAN KESATUAN JURUTEKNOLOGI MAKMAL PERUBATAN
SEJAK PENUBUHANNYA.

Oleh : NG SEE KIAT.

(Pandangan penulis tidak semestinya pandangan Jawatankuasa)

PENUBUHAN INSTITUT PENYELIDIKAN PERUBATAN - 1900
         Perkhidmatan Juruteknologi Makmal Perubatan dalam negara kita ini walaupun agak 'baru' diketahui orang ramai kerana baru diperbetulkan nama jawatan kita daripada Pembantu Makmal kepada Juruteknologi Makmal Perubatan dalam tahun 1976, pada halnya, ia dimulakan sejak tahun 1900 apabila ditubuhkan Institut Penyelidikan Perubatan di Kuala Lumpur.
          Tujuan utama ditubuhkan Institut ini ialah untuk menjalankan penyelidikan-penyelidikan terhadap penyakit demam malaria, yang pada masa tu banyak membunuh orang-orang di negara kita. Maka, projek-projek Institut pada awal-awalnya tertumpu perhatian kepada kerja-kerja malaria sahaja, dan oleh demikian, tidaklah ramai Pembantu Makmal yang diambil bekerja. Sesungguhnya, kelayakan akademik, tugas-tugas dan tanggungjawab seseorang Pembantu Makmal pada masa itu jauh bezanya dan memang tidak setanding dengan apa yang diperlukan sekarang.

PERKEMBANGAN SETAMATNYA PERANG
          Dalam tahun-tahun setamatnya Perang, perkembangan perubatan makmal yang pesat membawa bersamanya kaedah-kaedah dan teknik-teknik yang memerlukan pengetahuan dan kecekapan yang lebih tinggi. Pakar-pakar Kajipenyakit telah tidak sanggup lagi melakukan ujian-ujian atau pemeriksaan makmalnya sendiri. Physician dan Clinician telah menyedari akan nilainya perkhidmatan makmal dalam membantu mereka dalam pengubatan dan rawatan pesakitnya. Memandangkan perkembangan-perkembangan ini, telah didirikan makmal-makmal kajipenyakit di Alor Setar, Pulau Pinang, Ipoh, Melaka, Johor Bahru dan Kuala Lumpur, dan berikutnya, di Seremban dan Kota Bahru.
          Maka bertambahlah pengambilan Pembantu Makmal dalam Jabatan Perubatan, dan dalam masa ini juga jabatan-jabatan yang lain seperti Jabatan Kimia dan Pharmaceutical Store di Petaling Jaya, mulai mengambil juga Pembantu Makmal untuk bekerja di makmal-makmal mereka. Maka, tertimbullah masaalah-masaalah latihan, elaun, peluang kenaikan pangkat dan sebagainya, dan baharulah dirasai perlu oleh  setengah-setengah Pembantu Makmal untuk diadakan sesuatu kesatuan sekerja yang dapat memperjuangkan hak-hak asasinya pekerja-pekerja itu.

BUBARNYA PERTUBUHAN PEMBANTU MAKMAL - 1954
          Maka, dalam tahun 1954, setelah diperolehi mandat untuk membubarkan Pertubuhan Pembantu Makmal (Laboratory Assistants Association) supaya dapat diambil alih oleh kesatuan, dilahirkan Kesatuan Pembantu Makmal (Laboratory Assistants Union, lebih terkenal dengan LAU). Walau bagaimanapun, keahliannya termasuklah Pembantu Makmal yang bekerja di Jabatan Kimia, dan Pharmaceutical Store di Petaling Jaya.

KEGIATAN PADA TAHUN-TAHUN AWAL
          Dalam tahun-tahun sebelum negara kita mencapai kemerdekaan, kegiatan-kegiatan Kesatuan tertumpu perhatiannya ke atas perjuangan untuk mendapatkan latihan-latihan yang lebih baik, memandangkan latihan yang diberikan kepada Pembantu Makmal pada masa itu tidak mengcukupi dan tidak memuaskan sekali. Ketua-ketua Bahagian di Institut Penyelidikan Perubatan ketika itu telah tidak mempunyai masa dan dedikasi untuk memberi latihan kepada Pembantu Makmal di bawah jagaan mereka. Seorang Pembantu Makmal yang dilantik ditempatkan di sesuatu bahagian yang memerlukannya, dan di situlah ia bekerja sambil belajar.
          Kesatuan telah mengemukakan cadangan kepada pihak yang berkenaan agar dapat diadakan sesuatu kursus latihan bagi Pembantu Makmal di Universiti Malaya, dan sementara menunggu penyusunan kursus seperti itu, Pembantu Makmal harus dihantarkan ke seberang laut untuk mendapat latihan-latihan yang sempurna.
          Apabila negara kita mencapai kemerdekaan, perkembangan-perkembangan kebangsaan dengan tiba-tibanya dipercergaskan. Dan ini mengakibatkan lebih lagi hospital-hospital berperkhidmatan makmal didirikan, yang memerlukan lebih ramai lagi pekerja-pekerja yang cekap. Ini walau bagaimanapun telah tidak diberikan sangat perhatian terhadap masalah ini, walau pun kerajaan sedang melaksanakan dasar ‘Malayanisation’.

NAMA – JURUTEKNIK MAKMAL ATAU PEMBANTU MAKMAL?
          Bagi mereka yang tahu, kita digelar ‘Budak Bilik Belakang’ (the back-room boys) atau dengan sedikit penghormatan, ‘the Lab-men’. Bagi yang tidak tahu, kita pernah dipanggil doktor, dresser, kerani atau apa sahaja nama-nama yang lain kecuali yang betul. Nama Pembantu Makmal pada awal-awal lagi telah dirasai sebagai nama yang tidak memadai dan padan sekali dengan tugas-tugas dan tanggungjawab kita dalam jabatan perubatan ini. Ada cadangan-cadangan, maka, untuk ditukarkan nama kita kepada Juruteknik Makmal.
          Soal utama terhadap nama Pembantu Makmal itu bukan sahaja kerana perkataan “Pembantu” itu. Kita tidak gemar dipanggil Pembantu Makmal kerana nama ini dimasukkan dalam ‘Common User Scheme’, disegulungkan dengan Pembantu Makmal jabatan-jabatan lain, yang tidak mempunyai langsung, atau mempunyai hanya sedikit sahaja latihan asasnya. Begitu juga dianggap nama Juruteknik Makmal, ia tidak dapat memperlihatkan profession kita yang tersendiri, yang dapat dikenali oleh orang ramai, terutamanya pesakit-pesakit.

MEMORANDUM SEKIM PERKHIDMATAN BARU – 1964
            Maka, dalam tahun 1964, Kesatuan telah mengemukakan kepada pihak Kerajaan satu memorandum untuk penukaran sekim Pembantu Makmal kepada Sekim Baru sebagai Juruteknoloji Makmal Perubatan. Tuntutan kita itu kelihatan cerah harapannya apabila allahyarham Professor Ungku Omar Ahmad dilantik sebagai Pengarah Institut Penyelidikan Perubatan dalam tahun 1965. Allahyarham Professor Ungku Omar Ahmad  merupakan salah seorang di antara pengarah-pengarah Institut yang benar-benar mempunyai minat  dalam perkhidmatan makmal kebangsaan, dan yang benar-benar memahami akan pentingnya perkhidmatan Juruteknoloji Makmal Perubatan. Allahyarham Ungku berpendapat, “Modern medicine, be it curative or preventive, can not be implemented without adequate laboratory support and continual laboratory research”.

TINDAKAN PERUSAHAAN YANG PERTAMA – 1963
            Dalam tahun-tahun awal, walaupun Kesatuan sibuk dengan isu-isu yang lebih penting seperti system latihan dan keadaan-keadaan perkhidmatan yang lebih baik, Kesatuan sentiasa juga ditimpa masaalah-masaalah kecil seperti tuntutan-tuntutan bayaran kerja lebih masa, elaun-elaun, peluang-peluang kenaikan pangkat dan sebagainya.
            Tindakan perusahaan Kesatuan yang pertama, dalam bentuk ‘Kerja Mengikut Peraturan’ dilancarkan apabila pihak kerajaan telah tidak mengindahkan usaha-usaha kesatuan dengan cara biasa. Pada masa itu, keahlian kesatuan kita telah meningkat hampir 200 orang, malah, kejayan Kesatuan patut disebut dan dibanggakan ialah kejayaannya memperolehi sokongan-sokongan daripada kesatuan-kesatuan separa-perubatan yang lain dalam tuntutan Kesatuan itu. Sebanyak sebelas kesatuan yang lain telah melafazkan sokongan mereka, dan ini saya yakin dengan penuh kesalnya, tidak mungkin berlaku pada masa sekarang.

TINDAKAN PERUSAHAAN LAGI – 1967
            Berikutan dengan kegagalan Kesatuan memperolehi apa-apa tindakan yang sewajarnya daripada pihak Kerajaan terhadap memorandum Penukaran Sekim Perkhidmatan Baru, serta kegagalannya pihak berkenaan menyelesaikan isu-isu seperti; tuntutan bayaran kerja lebih masa, pengujudan jawatan-jawatan Tingkatan Khas dan Tingkatan Tertinggi, persamaan tangga gaji bagi pekerja lelaki dan wanita, serta tuntutan elaun-elaun lain, Kesatuan telah melancarkan sekali lagi tindakan perusahaan berbentuk Kerja mengikut peraturan.
            Keahlian Kesatuan pada masa itu nampaknya berkurangan (160 orang berbanding dengan 200 orang dalam tahun 1963) dan ini mungkin merupakan faktor utama yang menyebabkan kurang berkesannya tindakan Kerja Mengikut Peraturan itu. Kesatuan kemudian telah cuba mengaturkan satu lagi tindakan baru yang dianggap akan lebih berkesan, mujurlah telah dapat dihindarkan oleh pihak kerajaan dengan memberi Kesatuan jaminan yang kerajaan bersedia berunding.
            Kesatuan telah menekankan lagi perlunya ditubuhkan sebuah sekolah Teknoloji Makmal Perubatan dengan secepat mungkin untuk memberikan latihan kepada bakal-bakal Juruteknoloji Makmal Perubatan mengikut kehendak-kehendak negara kita dalam rancangan kemajuan Negara.

MEMORANDUM ‘URGENT’ PROFESSOR UNGKU OMAR AHMAD
            Dalam tahun 1968, allahyarham Professor Ungku Omar Ahmad selaku pengarah IMR, telah menghantar satu memorandum ‘urgent’ kepada Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan, menerangkan rancangan-rancangan serta cadangan-cadangan Institut Penyelidikan Perubatan mengenai penubuhan Sekolah Teknoloji Makmal Perubatan, serta program-program latihan Juruteknoloji Makmal Perubatan di Institut Penyelidikan Perubatan, Kuala Lumpur. Dalam memorandumnya aalahyarham Ungku mengulas, mengenai sistem latihan yang didasarkan bagi sekolah baru itu :-
            “This plan of training has been arrived at after taking into consideration the British system of training, the Watford report, the Australian system, the Scandinavian system and the U.S. system. The Committee under the chairmanship of the Director of IMR and comprising of the most senior consultants and Heads of Departments in the Institute after reviewing the programme of the various countries gave serious view to Malaysia’s own requirements when drawing up the detailed training programme as outlined....................................................”.

SEKOLAH TEKNOLOJI MAKMAL PERUBATAN – 1968
            Pada 1hb, April 1968, seramai 40 orang pelatih Pembantu Makmal telah melapurkan diri di Institut Penyelidikan Perubatan, Kuala Lumpur. Kumpulan ini merupakan kumpulan pertama pelatih-pelatih Pembantu Makmal yang mengikuti kursus Teknoloji Makmal Perubatan di Sekolah Teknoloji Makmal Perubatan, yang mengambil masa 3 tahun. Walau bagaimanapun, bangunan sekolah sebenarnya belum lagi pun siap dibina, dan kelengkapan-kelengkapan sekolah belum lagi diterima. Maka pelatih-pelatih itu ditempatkan di bahagian-bahagian yang tertentu di Institut mengikut jadual yang tertentu, dan program-program perjalanan kursus itu terpaksa diubah sedikit di mana, pelatih-pelatih diberi syarahan di bilik Syarahan pada waktu pagi, dan selepas itu, mereka dikehendaki balik ke bahagian masing-masing untuk membuat praktikal.
            Bangunan sekolah hanya siap ditubuhkan dalam bulan April, 1969. Kumpulan 1969 terpaksa menggunakan makmal pinjaman di Institut Kesiahatn Umum di Jalan Bangsar buat beberapa bulan sebelum berpindah ke sekolah kita di Institut Penyelidikan Perubatan.

PENUNTUT-PENUNTUT JURUTEKNOLOJI MAKMAL PERUBATAN DAN BIASISWA.
            Memandangkan bertambah perlunya Pembantu Makmal Negara, pengambilan penuntut-penuntut Sekolah Teknoloji Makmal Perubatan tahunan bertambah dari setahun ke setahun. Dalam tahun 1972 penuntut-penuntut yang mengikuti Kursus Teknoloji Makmal Perubatan di Sekolah Teknoloji Makmal Perubatan tidak lagi dilantik tetapi ditawarkan biasiswa Persekutuan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. Perlantikan hanya ditawarkan apabila lulus Peperiksaan Sijil Teknoloji Makmal Perubatan setamat latihan tahun ketiganya.
            Dalam tahun 1976 satu kompleks baru bagi Sekolah Teknoloji Makmal Perubatan didirikan, yang boleh mengambil seramai 120 – 180 orang penuntut setahun. Ia terdiri daripada dua buah dewan syarahan (Dewan Ungku Omar muatan 350 orang  dan Dewan Syarahan II muatan 240 orang), empat buah makmal (setiap makmal muatan 60 orang) Dewan Baca, pejabat-pejabat dan satu Dewan aktiviti penuntut.
            Jawatan-jawatan Pengajar telah pun dipenuhi (seramai 24 orang pengajar dalam tahun ini) dan mulai tahun 1977 pengambilan tahunan penuntut Juruteknoloji Makmal Perubatan ialah 120 orang (termasuk 10 orang dari Sarawak dan 10 orang dari Sabah).

SEKIM BARU?
            Walaupun telah ditubuhkan Sekolah Teknoloji Makmal Perubatan dengan rasminya, yang mengendalikan kursus tiga tahun Juruteknologi Makmal Perubatan, dan graduannya yang berjaya dalam peperiksaan Sijil Teknoloji Makmal Perubatan dianugerahkan Sijil Teknoloji Makmal Perubatan, akan tetapi jawatan yang dipegangnya tetap Pembantu Makmal, dan menerima tangga-gaji ‘Common User Scheme’. Tiada pun apa-apa khabar mengenai memorandum penukaran sekim baru bagi Juruteknoloji Makmal Perubatan yang kita hantarkan dalam tahun 1964, walaupun berkali-kali Kesatuan kita bertanya dan mendesak pihak-pihak yang berkenaan.

SEKIM GAJI SUFFIAN 1970
            Dalam tahun 1970 Suruhanjaya Gaji Suffian melepaskan satu tumbukan yang kencang kepada profession kita, yang menumpaskan Pembantu Makmal Perubatan sehingga tidak terdaya membangkit lagi selama beberapa tahun, sehingga baru-baru ini. Kerana dalam ‘Common User Scheme’, Pembantu Makmal Perubatan telah disamakan sekim gaji dengan Pembantu Makmal jabatan-jabatan lain, disamakan dengan tangga gaji Kerani dan yang terasa agar diperkecilkan ialah telah diturunkan dari paras persamaan dengan Staff Nurse dan Pembantu Hospital. Tidak dapat difahamkan langsung apakah sebab sebenar sekim gaji ini dapat diterima tanpa tindak-balas sewajarnya dari pihak kesatuan kita. Pada pendapat saya, sekim Suffian lah yang merupakan faktor utama yang menyebabkan kemerosotannya semangat atau morale profession kita, yang mengakibatkan Kesatuan kita hidup segan mati tak mahu dalam tahun-tahun selepas 1970, sehingga baru-baru ini.
            Malah, ini meyakinkan kita semua yang kita semestinya menukarkan nama jawatan kita supaya dapat dikeluarkan daripada ‘Common User Scheme’ ini, dan Kesatuan seharusnya mendesak-desak lagi Kerajaan terhadap memorandum Kesatuan tahun 1964 mengenai Pembentukan Sekim Baru – Juruteknoloji Makmal Perubatan.

TINDAKAN PERUSAHAAN 1971 MENYOKONG TUNTUTAN MEMORANDUM 1964.
            Tindakan kerja mengikut peraturan dilancarkan dalam tahun 1971 kerana menyokong tuntutan Kesatuan ke atas penukaran sekim Pembantu Makmal kepada Sekim Juruteknoloji Makmal Perubatan menurut memorandum kesatuan tahun 1964.
            Membalas tindakan kesatuan,  pihak kerajaan memberitahukan yang Kerajaan telah berjanji membentukkan satu Jawatankuasa Khas untuk mengkaji tuntutan Kesatuan, dan akan mengumumkan laporannya tidak lama lagi. Memikirkan kebajikan pesakit-pesakit, Kesatuan telah membatalkan tindakan tersebut dan kesal sekali kerajaan telah tidak menepati janjinya.
            Sementara itu, Suruhanjaya Harun telah ditubuhkan untuk mengkaji sekim-sekim perkhidmatan dan tangga-gaji-tangga-gaji dalam Badan-badan Berkanun. Oleh kerana ujudnya juga perkhidmatan Pembantu Makmal di Universiti Hospital dan Teaching Hospital, Universiti Malaya, maka, Suruhanjaya Gaji Harun difahamkan akan memberikan laporan mengenai sekim Juruteknoloji Makmal Perubatan di hospital-hospital tersebut. Maka, dalam tahun 1972, apabila kesatuan mendesak-desak lagi kerajaan berulang-ulang kali tentang sekim Juruteknoloji Makmal Perubatan dalam sector kerajaan, kita telah dinasihatkan supaya menunggu pengumumannya Laporan Suruhanjaya Gaji Harun supaya dapat pihak kerajaan memperolehi sesuatu panduan mengenai sekim baru itu.
            Pihak Kesatuan sesungguhnya terlalu suka bila mendengarnya, kerana dari punca-punca yang boleh dipercayai Suruhanjaya Harun difahamkan akan memberikan syor-syor yang istimewa bagi sekim Juruteknoloji Makmal Perubatan dalam badan-badan berkanun.

REPERCUSSION?
            Tidak disangka-sangka, pihak kerajaan mengada-ngada pula apabila menerima lapuran Suruhanjaya Harun. Alasannya ialah ‘repercussion’! Kononnya, pihak Kementerian membimbangkan ‘repercussion’ daripada Jururawat, Pembantu Hospital dan lain-lain kakitangan separa-perubatan. Penerangannya mudah:-
            Biar 250 orang Pembantu Makmal ‘frustrated’, jangan kita pula di Kementerian ‘frustrated’ apabila Jururawat dan Pembantu Hospital bising menuntut tangga gaji yang sama!
            Dua perkara yang benar-benar menambahkan ‘frustration’ Pembantu Makmal masa itu ialah:-
1.                   Sebelum Suffian, gaji permulaan seseorang Pembantu Makmal selepas 3 tahun ialah $385/= sebulan; gaji Suffian meletakkan orang ini pada $275/= sebulan, diturunkan parasnya dari paras Jururawat/Pembantu Hospital.
2.                  Kerajaan telah tidak menepati janjinya yang ia akan menyelesaikan masaalah sekim Juruteknologi Makmal Perubatan kita berpandukan Lapuran Harun; dan sebabnya dimungkiri janji itu difahamkan berpunca daripada kebimbangan ‘repercussion! Terasa-rasa telah tertipu oleh Kerajaan!
Ahli-ahli kita telah menjadi terlalu ‘frustrated’ dan berkali-kali mendesak Jawatankuasa supaya bersikap lebih militant; dan ramai antara ahli-ahli kita, kerana berselisih faham dengan sikap jawatankuasa yang mementingkan diplomasi dan keperimanusian telah menarik diri dari menjadi ahli Kesatuan, atau membiarkan hutang yuran bulanannya meningkat agar dapat dilucutkan keahlian dengan sendirinya.
Walau bagaimanapun Jawatankuasa bekerja keras, mencuba sedaya upaya untuk memperolehi balik kepercayaan dan sokongan ahli-ahli itu, dan merancangkan satu lagi tindakan perusahaan dalam tahun 1974. Kali ini, walaupun berjaya jawatankuasa menasihatkan ahli-ahli kita supaya tidak terlalu militant, tetapi terpaksa juga disediakan rancangan ‘back-up’ yang lebih ‘keras’ tindakannya. Agaknya, semua telah bersedia berperang buat kali terakhirnya.

14hb. MEI, 1974 – JADI ATAU MATI???????
            Pada   14hb Mei, 1974, 300 orang Pembantu Makmal diseluruh hospital-hospital, Institut Penyelidikan Perubatan dan lain-lain institusi perubatan kerajaan melancarkan tindakan kerja mengikut peraturan untuk menyokong tuntutan yang dibuat 10 tahun dahulu dalam satu memorandum bertarikh 1964.
            Kegagalan tuntutan tahun 1971 sesungguhnya dijadikan satu ajaran bagi kita, dan nampaknya, ‘we mean business’ kali ini.
            Pada waktu petang, Setiausaha kita Sdr Yeoh Chee Weng menerima panggilan talipon daripada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam, yang berjanji akan berunding jika Kesatuan membatalkan tindakan perusahaan, itu pun setelah Kesatuan mengemukakan satu memorandum baru mengenai tuntutan kita.
            Rupanya, memorandum kesatuan tahun 1964 dihantar kepada Suruhanjaya Khas Gaji dan dalam 10 tahun ini, adapun surat pekeliling perkhidmatan yang menerangkan wajibnya dihantarkan sesuatu memorandum kepada pihak Jabatan Perkhidmatan Awam untuk pertimbangan sebarang tuntutan. Kesal sekali, Kesatuan telah tidak sedar pun ujudnya Surat Pekeliling seperti ini, mungkin kerana Kesatuan telah tidak lagi digabungkan dengan CUEPACS pada masa itu.
            Jadi, perbicaraannya ialah:-
1.                   Tiada perundingan kerana tiada memorandum.
2.                  Tiada memorandum, masakan ada lagi tindakan perusahaan?
Kesatuan telah disuruh membatalkan tindakan perusahaan sementara menyediakan memorandum. Kerana pernah ‘tertipu’, Kesatuan membuat keputusan hanya menggantungkan tindakan tersebut, sementara itu Jawatan Kuasa bertindak dengan serta-merta, diperuntukkan tugas masing-masing, dan dalam tempuh masa beberapa minggu, Kesatuan telah menyediakan satu memorandum bagi tuntutan Pembentukan satu kategori pekerja baru yang dinamakan Juruteknologi Makmal Perubatan, dengan sekim gaji dan sekian perlhidmatan yang baru. Memorandum ini telah dikemukakan kepada JPA dalam bulan Jun 1974. Dan, semula, kita berada dalam permainan menunggu lagi!

SURUHANJAYA TAN SRI IBRAHIM ALI - 1975
            Dalam tahun 1975, Suruhanjaya Tan Sri Ibrahim Ali ditubuhkan untuk menyemak dan menyelaraskan sekim-sekim gaji dan perkhidmatan dalam lapuran-lapuran Aziz, Suffian dan Harun dan semua kesatuan sekerja telah diarahkan untuk mengemukakan memorandum masing-masing. Tidak ketinggalan, Kesatuan kita telah mengemukakan satu memorandum yang bertarikh 10hb Mei 1975, yang menuntut semula Pembentukan Satu Kategori Pekerja Baru yang dinamakan Juruteknologi Makmal Perubatan, dengan satu sekim Perkhidmatan dan Tangga-gaji baru.
            Sementara itu, tuntutan kita dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam berikutan tindakan perusahaan tahun 1974 dianggap masih dalam pertimbangan walaupun telah diterima apa-apa khabar setelah dikemukakan dalam bulan Jun 1974 lalu.

TINDAKAN PERUSAHAAN 1975 – MOGOK!
            Kerana telah dua kali pihak Kerajaan memungkiri janji terhadap tuntutan 1964  kita itu membuat helah supaya kita membatalkan dua tindakan perusahaan Kesatuan (1971 dan 1974), ahli-ahli Kesatuan telah memikirkan dengan seriusnya yang tindakan perusahaan tahun ini seharusnya lebih keras dan harus dipastikan akan benar-benar mencapai matlamat kita. Ahli-ahli kesatuan telah berkali-kali mendesak Jawatankuasa yang tidak seharusnya kita berdiplomasi atau berperi kemanusiaan lagi terhadap pihak majikan kita yang tidak menunjukkan tanggungjawabnya, yang tidak lagi boleh dipercayai janji-janjinya. Lagipun Juruteknoloji Makmal Perubatan di Universiti Hospital dan Universiti Malaya telah pun diberikan sekim Juruteknologi Makmal yang lebih tinggi.
            Pada tahun 1975, Kesatuan kita setelah memberikan notis kepada Jabatan Perkhidmatan Awam supaya menyelesaikan tuntutan yang terlalu lama itu dalam tempuh dua minggu, tanpa membuat demikian, Kesatuan akan melancarkan tindakan perusahaan berbentuk mogok. Pada pendapat saya, walau pun tindakan perusahaan itu telah memperoehi mandat dengan sebulat suara, agak ramai ahli-ahli kita yang masih ‘lembut hati’, membimbangkan takut nanti teruntuhnya perkhidmatan makmal, dan mendatangkan kesulitan kepada rakyat.

RUNDINGAN JPA – Kesatuan – 3hb April 1975
            Mujurlah, tindakan mogokitu telah dapat dielakkan apabila Jabatan Perkhidmatan Awam bersetuju berunding dengan pihak Kesatuan, mengenai tuntutan kesatuan itu.Tarikh perundingan telah pun ditetapkan pada 3hb April 1975, bertempat di Jabatan Perkhidmatan Awam.
            Pihak Kesatuan telah diketuai oleh yang DiPertua CUEPACS, dalam rundingan itu. Wakil-wakil Jabatan Perkhidmatan Awam telah menerangkan yang oleh kerana tertubuhnya Suruhanjaya Diraja Tan Sri Ibrahim Ali, maka, tuntutan penukaran sekim gaji harus dikemukakan kepada Suruhanjaya Tan Sri Ibrahim Ali untuk dipertimbangkan. (Dan ini telah pun dilakukan oleh Kesatuan). Selagi tidak diterima syor-syornya Sruhanjaya Di Raja itu pihak pegawai hanya berkuasa berunding atas tuntutan mengenai anomali-anomali akibat perlaksanaan sekim gaji Suffian.

MINIT RUNDINGAN.
                Walau bagaimanapun Jabatan Perkhidmatan Awam bersetuju dengan Kesatuan, yang perkhidmatan makmal dalam pengubatan pesakit-pesakit telah meningkat perkembangan di mana doktor-doktor dikehendaki bergantung kepada keputusan-keputusan penganalisaan makmal yang diarahkan oleh doktor-doktor itu.Ujian-ujian yang dilakukan dalam makmal adalah menurut peraturan-peraturan ujian tertentu yang tidak bergantung kepada penyeliaan doktor yang mengubati pesakit-pesakit itu.
            Telah diakui juga oleh pihak JPA, tugas-tugas yang dilakukan oleh perkhidmatan makmal melibatkan kerja-kerja berasaskan professionalisma di mana, keputusan itu hendak tepat kerana keputusan itu akan diambil oleh doktor untuk menentukan cara-cara dan jenis-jenis pengubatan.
            Berasaskan semua ini, Kerajaan membuat keputusan untuk membentuk satu sekim baru yang dinamakan perkhidmatan Juruteknoloji Makmal Perubatan. Kelayakan bagi perkhidmatan Juruteknoloji Makmal Perubatan ialah Sijil Teknoloji Makmal Perubatan daripada Sekolah Teknoloji Makmal Perubatan yang dikelolakan oleh Institut Penyelidikan di bawah arahan Kementerian Kesihatan Malaysia.

PEMBANTU MAKMAL SEBELUM PENUBUHAN SEKOLAH
            Bagi membolehkan Pembantu Makmal dalam perkhidmatan dipertimbangkan untuk diserap masuk ke dalam sekim perkhidmatan yang baru ini, pihak JPA bersetuju yang pemegang-pemegang Sijil Amalan Makmal Perubatan yang dikeluarkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan, atau lain-lain kelayakan seberang laut yang diiktiraf setaraf oleh Institut Penyelidikan Perubatan dan Kementerian Kesihatan Malaysia akan dianggap mempunyai kelayakan yang diperlukan di bawah sekim Juruteknoloji Makmal Perubatan.

SURUHANJAYA TAN SRI IBRAHIM ALI DAN KESATUAN KITA
            Lapuran Suruhanjaya Tan Sri Ibrahim Ali merupakan harapan yang ditaruhi semua orang dalam perkhidmatan kerajaan dan badan-badan berkanun. Oleh yang demikian ia merupakan masaalah CUEPACS. Walau bagaimanapun, kita menaruh banyak harapan dalam Lapuran Suruhanjaya Gaji ini kerana ialah akan menentukan samaada tindakan-tindakan kesatuan sejak tahun 1964 itu sia-siakah atau memadai.
            Dengan fahaman bahawa dasar-dasar rujukkan Suruhanjaya Diraja Tan Sri Ibrahim Ali ialah untuk menyamakan dan menyelaraskan rupa-bentuk tangga-gaji dalam sektor Kerajaan, Badan-badan berkanun dan Lembaga Tempatan agar terdapat satu tangga gaji yang serupa bagi kategori pekerja yang sama, yang menjalankan tugas-tugas yang sama, maka, adalah difikirkan apa sahaja sekim gaji dan sekim perkhidmatan yang disyorkan oleh Suruhanjaya bagi Juruteknoloji Makmal Perubatan di Universiti Hospital dan Universiti Malaya seharusnya ditawarkan kepada kita dalam perkhidmatan Kerajaan.

PENOLAKAN KERAJAAN TERHADAP SYOR-SYOR SURUHANJAYA TAN SRI IBRAHM - 1976
            Pihak Kerajaan telah menolak syor-syor suruhanjaya Tan Sri Ibrahim Ali setelah mengkaji lapurannya denagan alasan bahawa perbelanjaan Kerajaan untuk melaksanakan syor-syor Tan Sri Ibrahim Ali itu ditaksirkan oleh pihak Kerajaan sebagai melebihi 500 juta ringgit, melebihi kemampuan Kerajaan. Dan, sesungguhnya, CUEPACS tidak sependapat dengan kerajaan dan memintakan sokongan dan tindakan daripada semua kesatuan gabungannya. Pada 1hb September 1976, CUEPACS memperolehi mandat untuk melancarkan tindakan perusahaan bagi menykong tuntutan supaya kerajaan melaksanakan syor-syor Ibrahim Ali.

JAWATANKUASA KABINET KERAJAAN
            Setelah menolak syor-syor Ibrahim Ali, Kerajaan menubuhkan Jawatankuasa Kabinet yang dipengerusikan oleh Y.A.B.Timbalan Perdana Menteri, yang bertanggungjawab untuk membuat kajian ke atas lapuran Ibrahim Ali dan kemudiannya memberikan syor-syornya. Syor-syor Jawatankuasa Kabinet ini kemudiannya dibentangkan di Parlimen untuk diperoleh kelulusan dan kemudiannya, dipaksa telankan kepada kita.

LAPURAN GAJI JAWATANKUASA KABINET – KESILAPAN ‘SLOTTING’ OLEH JPA – SATU ANOMALI.
            Dalam lapuran Gaji Jawatankuasa Kabinet, terdapat perbezaan tangga-gaji yang memeranjatkan kita antara Juruteknoloji Makmal Perubatan Sektor Kerajaan dengan Juruteknoloji Makmal Perubatan Badan-badan Berkanun. Kita dalam kerajaan diletakkan dalam kategori C9 ($ 435 X 30 - 495/525 X 30 – 705/765 X 40 – 925) sementara Juruteknoloji Makmal Perubatan dalam badan-badan berkanun ditawarkan tangga gaji yang lebih tinggi – B11 ($ 485 X 40 – 565/605 X 40 – 925/1005 X 40 – 1205).

SURAT BANTAHAN – 22 hb JUN 1977
            Pada 22hb Jun 1977, satu memorandum bantahan dari Kesatuan, yang menganggapkan kejadian ini sebagai satu kesilapan ‘slotting’ oleh pihak JPA telah dihantarkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kabinet, Y.A.B. Dato’ Sri Dr.Mahathir Muhammad dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Dato’ Abdul Aziz b Zakaria.
            Kesatuan menerangkan ‘double standard’ yang diujudkan oleh Jawatankuasa Kabinet ini tidak seharusnya berlaku, memandangkan yang bertanggung jawab dan latihan Juruteknologi Makmal Perubatan Juruteknoloji Makmal Perubatan di Universiti Hospital dan Juruteknoloji Makmal Perubatan Sektor Kerajaan adalah sama dan setanding.

TRIBUNAL PERKHIDMATAN AWAM TAHUN 1977
            Akta Tribunal Awam 1977 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan disahkan oleh Dewan Negara memperuntukkan penubuhan Tribunal Perkhidmatan Awam untuk memutuskan tuntutan berkenaan dengan satu-satunya anomali yang dirujukkan kepadanya.


SURAT PEKELILING PERKHIDMATAN BIL 1/1978 – MEMORANDUM BERSABIT DENGAN ANOMALI.
            Surat pekeliling perkhidmatan bil 1/78  menerangkan perlunya pihak-pihak yang terkilan mengadakan satu perundingan dengan pihak JPA sebelum sesuatu pertikaian itu dapat dirujukkan kepada Tribunal Perkhidmatan Awam untuk diperolehi pertimbangan. Untuk tujuan perundingan ini, pihak-pihak yang terkilan dikehendaki mengemukakan memorandum baru mengenai sesuatu anomali akibat perlaksanaan sekim Jawatankuasa Kabinet itu.

MEMORANDUM ANOMALI SEKIM JAWATANKUASA KABINET – 26 hb JANUARI 1978.
            Memorandum ini menerangkan bagaimana Kesatuan menganggapkan kes kita itu sebagai anomali sekim Jawatankuasa Kabinet, dan ia direka berpandukan memorandum bantahan Kesatuan yang bertarikh 22hb Jun 1977 itu.

MEMORANDUM KITA DITOLAK?
Pada 28hb Mac 1978, Bahagian Perundingan JPA membalas memorandum kita dengan satu surat yang amat mengelirukan, di antara lain, tersebut-
“.....................Kesatuan telah tidak menerangkan tangga-gaji yang dituntut................. Pihak Kerajaan belum lagi membuat penilaian terhadap tarafnya sijil-sijil Institut Penyelidikan Perubatan, dan sehingga lapuran penilaian itu diperolehi, memorandum Kesatuan JTMP ditolak .........................” atau kandungan yang sedemikian maksudnya.
            Ini mencemaskan Jawatankuasa Kesatuan dan dalam satu mesyuarat tergempar, diputuskan supaya dihantar wakil Kesatuan pada 3hb April 1978 untuk berjumpa dengan pegawai JPA yang berkenaan untuk mendapatkan penjelasan mengenai isi-kandungan surat tersebut.

BAHAGIAN PENILAIAN JPA
            Rupanya memorandum Kesatuan kita itu tidak ditolak tetapi tuntutan kita itu telah dirujukkan kepada Bahagian Penilaian JPA agar dapat ditentukan samaada taraf sijil-sijil kita itu sama atau tidak dengan sijil-sijil Teknoloji Makmal Perubatan di Universiti –universiti Hospital, Malaya dan Kebangsaan.
            Secara tidak rasmi, kita telah difahamkan yang Jawatankuasa Penilaian Ad Hoc sudah pun habis mengkaji, bermesyuarat dan memutuskan penilaian-penilaian itu, tetapi, setiap kali kita bertanyakan tentang keputusannya, pihak JPA sentiasa menjawab dengan ‘Bahagian Penilaian belum habis kajiannya’.


KES KITA KE TRIBUNAL?
            Pada 28hb Ogos 1978, Jawatankuasa membuat keputusan , memetik syarat-syarat peruntukan dari Akta Tribunal 77 dan mendesak pihak JPA supaya mengadakan satu perundingan secepat mungkin untuk menyelesaikan anomali kita itu dalam tempoh tiga minggu, kegagalannya akan bererti pihak JPA telah gagal menyelesaikan tuntutan Kesatuan kita dan menurut syarat-syarat Akta tersebut, berhaklah kita merujukkan kes kita kepada Tribunal agar dapat diperolehi penyelesaian muktamad.
            Berikutan dari itu, Kesatuan telah memperolehi seorang peguam yang cenderung dalam undang-undang sekerja, bersedia kalau-kalau tertimbul keperluan nanti.

BELUM LAGI??
            Jawatankuasa telah dihubungi oleh pihak berkenaan berikutan dengan surat itu dan telah dinasihatkan dalam satu pertemuan, agar dapat menunggu sekejap lagi kerana, menurut pegawai-pegawai JPA itu, kes kita sedang berada dalam peringkat terakhir di mana diperbincangkan tentang tangga-gaji yang patut ditawarkan. Soal pengiktirafan Sijil Teknoloji Makmal Perubatan dan kelayakan Peperiksaan Jabatan Kedua telah pun diselesaikan tanpa kerumitan.

KESIMPULAN
            Selama ini, Kesatuan memang bersabar benar terhadap tuntutan-tuntutan kita itu. Jawatankuasa berterima kasih kerana ahli-ahli kita memahami keadaan yang sebenar dan bekerjasama supaya keadaan tidak menjadi buruk walaupun berkali-kali kita ‘dipermain’ dan ‘diperkecilkan’ oleh pihak-pihak yang berkenaan. Walau pun 25 tahun usianya sekarang nampaknya sihat dan cerah masa depannya, akan tetapi, selagi tidak dihapuskan ‘bisol’ yang sudah hampir 15 tahun ini (sejak 1964), satu hari nanti bila ia meletup, susahlah kita. Yang akan rugi tidak lain Kerajaan kita juga.


Pembaca harus ingat bahawa artikel ini menerangkan sejarah perjuangan JTMP melalui Kesatuan sejak penubuhannya sehingga tahun 1979 sahaja. - Badarul Zaman

























KEMELUT PROFESSION JURUTEKNOLOGI  MAKMAL PERUBATAN

Kini sudah hampir 30 tahun sejak artikel ini dikeluarkan. Sedikit sebanyak kita mendapat gambaran bagaimana orang-orang lama berjuang bertukus lumus untuk mencapai kejayaan demi profesion JTMP. JTMP zaman sekarang banyak mendapat nikmat, hasil perjuangan orang-orang seperti penulis dan ramai lagi seperti beliau.
Kini JTMP dapat melanjutkan pelajaran ke Institusi pengajian tinggi yang pada satu ketika dulu peluang ini tertutup atau pun sekurang-kurangnya pelbagai halangan yang membantut cita-cita JTMP. Pada tahun 1992 apabila program Bio-perubatan, untuk menaikan taraf JTMP bermula di UKM dan kemudiannya di UM, peluang untuk JTMP dari KKM untuk memasukinya amatlah tipis. Sesiapa di antara JTMP yang bertuah dapat memasuki program ini terpaksa bercuti tanpa gaji selama 4 tahun (sejak tahun 1996 dikurangkan kepada 3 tahun) dan pada ketika itu JTMP ini akan kerugian “Seniority”  beliau apabila kembali bertugas setelah tamat pengajian.
JTMP yang berkelayakan akan ditemuduga untuk dimasukan dalam jawatan Pegawai Sains  atau Pegawai Penyelidik sebab belum ada jawatan JTMP gred 41 diujudkan untuk siswazah Bio-perubatan (sehingga sekarang pada tahun 2008 masih belum ada jawatan JTMP U41 diujudkan dalam jabatan kesihatan awam mau pun badan kesihatan berkanun di Malaysia - Kita telah jauh ketinggalan rakan-rakan sejawat kita di seluruh dunia termasuk di Asia Tenggara). Sehingga kini siswazah Bio-perubatan dari Universiti Awam dan Swasta termasuk siswazah Teknologi Perubatan UiTM diserapkan ke dalam jawatan Pegawai Sains/Pegawai Penyelidik. Apalah nasib JTMP di Malaysia, terpinggir dari arus pembangunan profesion oleh pembuat polisi di Malaysia? Profession ini di seluruh dunia telah melalui proses evolusi yang pesat sehinggakan nama profession ini sendiri juga berubah dari “Lab Technician/Lab Asisstant” ke “Medical Lab Technologist/Medical Technologist” ke “Biomedical Scientist/Medical Scientist/Clinical Laboratory Scientist/Medical Laboratory Scientist” dan sebagainya.

Apabila sudah dimasukkan ke dalam jawatan Pegawai Sains/Pegawai Penyelidik, tangga gajinya diletak pada tangga gaji pertama (P1T1) jawatan yang dipohon walaupun gajinya sebagai JTMP pada ketika itu lebih tinggi. Sekarang semua itu dah berubah, kini  JTMP yang diserap masuk ke jawatan Pegawai Sains atau Pegawai Penyelidik melalui KPSL (kenaikan pangkat secara lantikan), akan diletakkan pada tangga gaji yang terhampir lebih tinggi daripada gaji asalnya sebagai JTMP. Sebagai contoh : Jika gaji JTMPnya ia lah RM2092.39 maka beliau akan mendapat tangga gaji yang terhampir dalam sekim Pegawai Sains/Penyelidik ia itu RM2131.69  dan bukan P1T1 RM1492.80 termasuk mendapat satu kenaikan jadi tangga gaji mula beliau sebagai Pegawai Sains/Penyelidik ialah RM2211.54.
Pada tahun 2008 ini masih ada lagi perjuangan yang perlu diteruskan. Kini kita bertukus lumus mendesak JPA ujudkan jawatan JTMP U41 supaya JTMP yang mempunyai ijazah Bio-perubatan dari Universiti-universiti tempatan dan Ijazah Teknologi Perubatan UiTM diserap masuk sebagai JTMP U41 supaya kita seiring dan setanding dengan profession ini di luar negara. Mungkin kita juga boleh memasukan JTMP yang memiliki lain-lain ijazah “life sciences” seperti Mikrobiologi dan Biokimia untuk dikekalkan dalam jawatan JTMP U41 sebab “taking into consideration”  beliau memiliki diploma Teknologi Makmal Perubatan.



Nukilan Badarul Zaman JTMP IMR,KL .
30 / 5/ 2008

No comments:

Post a Comment